Roh sebelum dihantar ke alam dunia ini memang sudah mengenali dan mengakui bahawa Allah adalah Tuhan yang wajib disembah.
Pernah Allah bertanya kepada roh: "Tidakkah Aku ini Tuhan kamu?"
Jawab roh: "Bahkan."
Ini membuktikan roh sudah pun mengenali dan mengakui Allah sebagai Tuhannya tanpa perlu belajar atau diajar. Tetapi sebaik sahaja roh itu dimasukkan ke dalam jasad manusia; berpindah dari alam roh kepada alam dunia, berpindah dari alam yang cerah kepada alam yang gelap pekat; ia sudah lupa kepada Tuhannya. Mengapa perkara ini boleh berlaku?
Untuk menjawab pertanyaan itu, mari kita fakir sejenak. Kadangkala untuk kita mengimbas semula kisah sewaktu kita masih kecil pun mustahil kita dapat ceritakan secara terperinci peristiwa demi peristiwa yang berlaku ke atas diri kita. Melainkan ibu, ayah atau adik-beradik yang lebih tua dari kita yang menceritakan kisah tersebut. Itu pun hanya tidak secara terperinci. Banyak perkara yang kita sendiri lupa tentang diri sendiri. Sedangkan jarak masa tersebut tidaklah terlalu lama cuma puluhan tahun. Inikan pula sewaktu semua manusia berada di alam roh (sebelum Nabi Adam di turunkan ke bumi), tentulah kita sudah terlupa dengan apa yang pernah roh kita ucapkan di hadapan Tuhan itu. Sebab itulah apabila kita dilahirkan ke dunia, ibu bapa atau pendidiklah bertanggungjawab mengenalkan sifat-sifat Tuhan kepada kita. Kerana tanpa kenal Tuhan, mustahil kita dapat menyintai-Nya. Bak kata pepatah Melayu, "Tak kenal maka tak cinta".
Dalam pengalaman kita sendiri, untuk kita mengenal seseorang itu pun memakan masa. Tidak cukup sekadar mengenal namanya, anak siapa atau di mana tempat tinggalnya. Lebih-lebih lagi untuk sampai kita jatuh hati kepadanya; mestilah kita kenal hati budinya. Jasa-jasa yang telah dilakukan; akhlaknya, pemurahnya, sifat penyayangnya, penyabarnya dan sebagainya. Jika setiap hari kita diceritakan tentang dirinya; pengorbanan yang dibuat, jasa-jasanya, kehebatan peribadinya, ibadahnya serta kebaikan-kebaikan lain yang dibuat; tentulah timbul keinginan untuk mengenali dirinya lebih dekat lagi. Bila timbul keinginan untuk mengenalinya, kita sendiri yang akan berusaha untuk bertanya kepada yang punya diri. Kalau tidak pun kita akan berusaha untuk mendapatkan maklumat-maklumat mengenai orang yang kita suka itu. Kita bukan sahaja tahu namanya atau latar belakang mengenai dirinya, tapi kita juga boleh ceritakan apakah kegemarannya, hobinya pada waktu lapang, makanan kesukaannya. Kadang-kadang perkara yang dibencinya juga kita boleh dapat tahu. Lama-kelamaan kerana rapatnya hubungan kita dengannya, tanpa disedari akan berputik pula rasa suka, sayang dan rindu kalau lama tidak berjumpa. Inilah bibit-bibit cinta bila hati sudah jatuh hati kepada seseorang.
Begitu juga kalau kita ingin jatuh cinta kepada Allah, Tuhan yang menciptakan kita. Kita mesti mengetahui sifat-sifat-Nya supaya kita kenal siapa Tuhan yang kita sembah setiap hari. Selama ini kita hanya kenal Allah sebagai Tuhan kita. Dia yang berhak disembah. Jika tidak menyembah-Nya boleh menyebabkan kita jatuh syirik. Tetapi pengenalan yang terlalu umum seumpama itu tidak menimbulkan rasa cinta apalagi rindu untuk selalu `menghadap-Nya `. Selama ini kita bersembahyang atau menghadap Tuhan kerana terpaksa; sebagai satu ke-wajipan. Bukan kerana rindu untuk bertemu denganNya. Sebab itu, untuk mengenal-Nya lebih-lebih lagi jatuh cinta kepada-Nya, kita mesti tahu sifat-sifat Tuhan. Supaya semakin kita kenal Tuhan, maka semakin indah kita rasakan memiliki Tuhan. Apabila kenal siapa Tuhan kita, barulah timbul perasaan cinta dan takut kepada-Nya. Bahkan kita rasa terhutang budi kepada-Nya kerana Dia memberi nikmat terlalu banyak kepada kita.
Untuk mengenali sifat-sifat Tuhan,kita mestilah memiliki ilmu tentang-Nya. Ilmu itu pula disampaikan oleh guru yang boleh mendidik hati kita. Sifat-sifat Tuhan itu terlalu banyak untuk dihuraikan satu persatu. Cuma mari kita ambil beberapa sifat Tuhan untuk dibincangkan di sini demi mendekatkan diri kita dengan Tuhan.
1. Sebagai Pelindung
Mari kita rasakan dan yakini bahawa Tuhan adalah Pelindung, Penjaga, Pengawal dan Penyelamat. Duduk di bawah Perlindungan-Nya, kita tidak perlu rasa bimbang. Dialah Penjaga yang tidak pernah rehat-rehat. Kalau seorang ibu yang menjaga anaknya; pun masih perlu tidur pada waktu malam. Dan sewaktu dia rehat atau tidur; kalau berlaku apaapa ke atas anaknya, dia pasti tidak tahu kerana tertidur. Tetapi Tuhan sebagai Penjaga yang tidak pernah tidur, letih, rehat atau terlalai.
Sebab itu ada orang soleh yang setiap kali hendak tidur,dia akan mengamalkan doa ini: " Wahai Tuhan,Engkaulah Penjagaku sewaktu aku jaga dan aku tidur.Engkau jagalah aku sewaktu aku tidur kerana Engkau tidak tidur.Dan bangunkan aku dari tidurku untuk aku beribadah kepadaMu. "
2. Tuhan Sebagai Pengawal
Begitu juga sifat Pengawal-Nya. Kalau pemimpin-pemimpin, sudah tentu memiliki ramai pengawal-pengawal di sekelilingnya. Namun walau bagaimana ketat kawalan mereka, masih ada juga pemimpin yang mati ditembak, diculik dan dijadikan tebusan. Tetapi sifat Pengawal Allah ini luar biasa kawalanNya. Dia mengawal seluruh makhluk yang diciptaNya termasuk manusia, haiwan, tumbuhan, gunung ganang, lautan, alam semesta yang luas terbentang, alam yang lahir mahupun yang ghaib. Tiada satu makhluk pun yang di luar kawalan-Nya. Mana ada satu kuasa yang dapat mengawal sehebat kawalan Tuhan itu?
3. Tuhan Sebagai Penyelamat
Lebih-lebih lagi sifat Penyelamat Dalam apa jua keadaan yang genting sekalipun, Dialah satu-satunya Penyelamat. Saksikan sejarah Nabi Ibrahim yang dicampak ke dalam kawah api yang besar atau peristiwa Nabi Yunus yang ditelan oleh ikan Nun. Kedua-duanya Tuhan selamatkan. Begitu juga kisah Nabi Musa sewaktu dikejar oleh Firaun serta tenteranya. Anabila berdepan dengan saat genting didepannya lautan yang luas sedang tentera Firaun mengejar dibelakangnya;siapa yang menyelamatkan mereka. Bukankah sifat Penyelamat Tuhan yang menyelamatkan mereka dengan terbelahnya lautan tersebut menjadi laluan untuk mereka menyeberanginya?
Sebab itu rasakan dan yakinlah bahawa Tuhan itu sebagai Pelindung, Penjaga, Pengawal dan Penyelamat.
4. Tuhan Berkuasa Berbuat Apa Saja
Walaupun sifat Tuhan itu sebagai Pelindung, Penjaga, Pengawal dan Penyelamat; Dia juga boleh melakukan apa sahaja ke atas diri kita. Buktinya banyak kita dengar kejadian kemalangan yang meragut nyawa, banjir besar, gempa bumi, kemarau dan berbagai kes jenayah yang kesemuanya melibatkan keselamatan manusia? Bencana alam yang disebutkan itu, bukan sahaja meragut nyawa manusia malah dalam sekelip mata bencana tersebut boleh meranapkan segala bangunan serta infrastruktur yang ada bagaikan padang jarak padang tekukur.
Dalam hal ini kita perlu faham, apa sahaja kejadian yang Allah timpakan, pasti ada hikmah yang tersirat kerana Dia Maha Suci daripada menzalimi makhlukNya. Di sinilah kita perlu takut kepada-Nya. Gerun dengan kemurkaan-Nya itu. Hanya dengan menyebut kun atau `jadi` maka `jadilah` sepertimana kehendak Allah.
5. Tuhan itu Pengasih dan Penyayang
Tetapi bila kita bahaskan pula sifat Pengasih dan Penyayang kepada makhluk-Nya, sekali lagi kita merasa kagum. Dia sangat kasih dan sayang terutama kepada manusia sebagai hamba-Nya. Kasih sayang-Nya tiada batas dan hadnya. Kasih sayang Tuhan pula tanpa bersebab atau berkepentingan. Kalau seorang ibu mengasihi anaknya hatta nyawa sanggup dijadikan tebusan, namun kasih sayang Tuhan melebihi kasih seorang ibu terhadap anaknya.
Dia juga tidak pilih kasih. Manusia walau apa bangsa, bahasa, agama, warna kulit serta berbagai taraf kedudukannya di tengah masyarakat tetap mendapat kasih sayang Tuhan.
Banyak bukti yang menunjukkan kasih sayang Tuhan kepada hamba-Nya, antaranya:
Firman Allah yang bermaksud:
"Dia yang menjadikan untuk kamu bumi sebagai hamparan dan langit bagaikan binaan dan diturunkan danpada langit itu air (hujan) maka darinya dikeluarkan buah-buahan sebagai rezeki untuk kamu. Maka dengan sebab itu janganlah kamu mencipta sekutu bagi Allah sedangkan kamu mengetahuinya." (Al Baqarah :22)
Firman lain yang bermaksud:
"Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi, dan silih berganti malam dan siang dan bintang yang bergerak amat berguna pada nelayan, Allah menurunkan dari langit hujan maka ia menghidupkan bumi yang mati dan dibiakkan di atasnya segala macam haiwan, dan dipindahkan angin dan awan di antara langit dan bumi, itu semua sebagai tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berakal."
Allah sangat kasih kepada hamba-Nya yang menurut perintah-Nya namun bagi yang terlanjur dan banyak melakukan dosa; Allah tetap memujuk agar tidak berputus asa dari kasih sayang-Nya.
Ini jelas dalam sebuah firman-Nya yang bermaksud:
"Katakanlah: Wahai hamba-Ku yang melampaui batas ke atas din sendiri, janganlah kamu berputus asa dan kasih sayang Allah, sesungguhnya Allah boleh mengampuni dosa-dosa semua, sesungguhnya Dia Tuhan yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang"
Mari kita lihat lagi kasih sayang Tuhan kepada kita.Sewaktu kita di uji dengan kesakitan Dialah yang menyembuhkannya. Sewaktu kita lapar dan kehausan, Dialah yang memberi makan dan minum. Sewaktu kita keseorangan, Dia kurniakan suami atau isteri serta anak-anak agar rasa terhibur. Sewaktu dilanda masalah, Dialah yang memberi jalan penyelesaiannya. Sewaktu kita berhajat kepada sesuatu, Dialah yang menunaikan hajat yang kita pinta itu. Kalaupun tidak semuanya dikabulkan tapi ada juga sebahagiannya yang telah dikabulkan. Kalau mahu dihitung terlalu banyak bukti menunjukkan kasih sayang Tuhan kepada kita. Cukup sekadar beberapa contoh membuktikan begitulah kasih sayang Tuhan kepada hamba-hamba-Nya.
6. Murkanya Berhikmah
Walaupun hebat kasih sayang Tuhan, namun Dia boleh murka kepada hamba-Nya. Tetapi kemurkaanNya berhikmah dan mengandungi pengajaran. Sebagai contoh apabila berlaku kemarau panjang di sesebuah tempat, musnahlah tanaman dan banyak haiwan yang mati; manusia juga merasai kesengsaraan akibat kekurangan makanan. Mengapa Allah biarkan manusia menderita, memusnahkan tanaman haiwan ternakan? Apakah Allah tidak kasih kepada makhluknya? Sebenarnya takdir yang berlaku itu ada hikmahnya. Allah ingin menghukum kesalahan manusia di dunia supaya kita terlepas daripada hukuman-Nya di Akhirat yang maha dahsyat. Selain dari itu hikmah di sebalik musibah ialah agar manusia merasai betapa lemah dan dhaif hingga tidak berupaya berhadapan dengan kekuasaan Allah SWT. Ini menyedarkan kita sebagai hamba lebih baik menyerah saja kepada Allah SWT. Musibah juga bagi orang yang beriman ada dua maksud iaitu sebagai penghapusan dosa dan sebagai pengangkat darjat di sisi Allah bagi yang tidak berdosa.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Setelah seseorang itu tercatat namanya di Syurga dan dia tidak berupaya mencapainya melalui ibadah, maka Allah SWT mendatangkan ujian yang dengannya dia bersabar maka kekallah namanya sebagai ahli Syurga." (Riwayat At Tabrani)
Rasulullah SAW bersabda lagi maksudnya:
"Apabila Allah menyayangi hamba-Nya maka dia diuji agar Allah mendengar rintihannya (dengan kerendahan diri)." (Riwayat Al Baihaqi)
Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Tiada seorang mukmin ditimpa kesakitan, kepayahan, penyakit, kesedihan hatta duri yang menusuk, kecuali dengan itu menghapuskan dosa-dosanya." (Riwayat Al Bukhan)
" Sebab itu kalau manusia faham, dia akan tenang menghadapi ujian itu. Sebaliknya jika dia tidak faham maksud Tuhan, kemudian tidak sabar, maka dia berhadapan dengan dua kesusahan. Pertama kesusahan kerana ujian kemarau yang menimpa. Kedua, susah hati dan menderita dengan kesusahan tersebut."
Sekian.